Monday, August 8, 2011

Hadith Kelebihan Solat Tarawih Palsu??



Berikut ialah dikatakan kelebihan-kelebihan menunaikan solat tarawih mengikut malam-malam tertentu!!!

1Dosanya keluar seperti ia baru di lahirkan ibunya
2Dosanya di ampuni, begitu pula dosa kedua ibu bapanya jika keduanya itu orang mukmin
3

Di panggil oleh malaikat dari bawah Arasy dengan seruan: “Mulailah kamu beramal sebab Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu”.

4Di beri pahala yang sama, dan pahala orang-orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
5Di beri pahala seperti orang yang melakukan sembahyang di Masjidil Haram di Makkah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Palestin
6Di beri pahala seperti pahala malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur, batu-batu serta pasir turut sama
memohonkan ampun baginya
7Seperti orang yang hidup pada zaman Nabi Musa dan membantunya hingga dapat mengalahkan Fir’aun dan Haman
8Di berikan oleh Allah segala apa yang pernah di berikan kepada Nabi Ibrahim ‘alaihisalam
9Seperti pahala beribadah kepada Allah yang di lakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W
10Di kurniakan oleh Allah kebaikan dunia dan akhirat
11Keluar dari dunia seperti pada hari dilahirkan dari kandungan ibu bersih daripada segala dosa
12Datang di hari kiamat dengan keadaan mukanya bercahaya dan bersinar bagaikan malam bulan purnama
13Datang di hari kiamat dengan keadaan aman dari segala kejahatan
14Disaksikan oleh para malaikat, kalau dia telah melaksanakan solat tarawih maka pada hari kiamat ia akan di bebaskan oleh Allah dari segala mudarat.
15Di minta ampun oleh para malaikat, oleh malaikat yang memikul Arasy dan Kerusi.
16Di bebaskan dari api neraka dan dapat masuk syurga
17Di beri pahala seperti pahala para Nabi
18Di seru oleh para malaikat, “Wahai hamba Allah, bahawasanya Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tua kamu”.
19Di angkat darjatnya ke dalam syurga firdaus.
20Di beri pahala para syuhada dan salihen
21Di bina rumahnya dari nur di dalam syurga.
22Kelak di hari kiamat ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan
23Di bangunkan sebuah kota untuknya di syurga
24Di beri pahala yang berupakan dua puluh empat permohonan di kabulkan
25Di hapuskan dari seksaan kubur.
26Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun
27Dalam melintasi sirat (jambatan) pada hari kiamat kelak, dia akan dapat melintasi dengan laju bagaikan kilat menyambar.
28Allah mengangkat dengan seribu darjat di syurga
29Diberi pahala seribu haji yang mabrur
30Di panggil dan di persilakan oleh Allah, wahai hambaku, makanlah buah-buahan syurga dan mandilah dengan air salsabil (air syurga yang sedap di minum) serta minumlah dari telaga kausar. Akulah Tuhanmu dan engkau hambaku.






Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.



Petikan dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Sumber: http://www.jais.gov.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...